Demi Cinta Yang Satu

Keinginan membelai cinta sesama manusia menjadikan kita sanggup berbuat apa sahaja asalkan sama-sama bahagia. Namun tidak ramai yang sanggup mengorbankan satu cinta ini demi merebut satu cinta yang paling hakiki, iaitu melalui empat cinta di bawah ini:-

Cinta Kepada Al-Quran
Rindu untuk membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungannya malah berusaha untuk mentaati setiap perintah dan menjauhi segala larangan yang terkandung di dalamnya.

Mukjizat Allah yang paling besar diutuskan kepada Nabi s.a.w.ini apabila semakin ditatap isi kandungannya, lebih-lebih lagi pada lewat malam ketika insan lain sedang lena di ulit mimpi nan indah, akan membuatkan hati kita akan terasa semakin tenang, jiwa semakin lembut terasa kita terlalu dekat kepadaNYA. Inilah antara kelebihan membesarkan ayat-ayat Allah ini.

Ada disebutkan dalam kitab bahawa jika selama 40 hari seseorang itu tidak mengikut majlis ilmu dan tidak membaca Al-Quran, maka secara automatiknya hatinya akan keras. Manakala syaitan pula akan mudah menggoda dan mula mengajak kita kepada melakukan perkara-perkara yang mungkar.

Mukjizat Kepada Rasulullah s.a.w.
Perumpamaan sepasang kekasih, sesiapa sahaja yang dirindui akan selalu menjadi sebutan dan igauan dalam mimpi. Rasulullah s.a.w. merupakan kekasih Allah, keistimewaannya sangat terserlah semenjak manusia bernama Adam a.s., manusia pertama Allah jadikan olehNYA. Kepada Rasulullah kitab Al-Quran (Ummul Kitab) diserahkan.

Bagindalah yang mengajar umat islam erti kemuliaan dan kebesaran ayat-ayat di dalam Al-Quran. Sesiapa sahaja yang selalu menyebut-nyebut nama baginda dalam selawatnya akan menjadi insan yang dirindui oleh Rasulullah s.a.w. dan di akhirat kelak akan menerima syafaat darinya.

al-quran

Cinta Kepada Sunnah.
Rasulullah digelar ‘Al-Quran bergerak’. Mengapa? Ia disebabkan setiap gerak laku Rasulullah, setiap tutur bicaranya dan isi hatinya merupakan terjemahan dari setiap kandungan Al-Quran yang di panggil sunnah.

Sesiapa yang mengamalkan sunnah Nabi, baik dalam menjalinkan hubungan dengan Allah (hablumminallah) atau hubungan sesama manusia (hablumminannas) berkaitan dengan tatacara hidup, pergaulan dengan masyarakat, bereknomi dan lain-lain, akan mendapat pahala malah hati akan mula terdorong untuk lebih taat kepada Allah dan berakhlak mulia.

Cinta Kepada Akhirat.
Orang yang mencintai sunnah Nabi s.a.w. akan sanggup berjuang bermati-matian demi merebut syurga abadi di akhirat. Antara sunnah Nabi ialah mengingati mati. Orang yang cintakan akhirat akan mula menjadikan ia mudah mengingati ‘mati” (zikrul maut) sebagai perisainya untuk mencegah dirinya dari melakukan sebarang perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Manakala sepanjang kehidupannya akan cuba diusahakan untuk melakukan sesuatu perkara hanya yang terbaik untuk dirinya kelak, pada keluarga dan masyarakat disekelilingnya. Malah ia juga akan sanggup menggunakan harta dunia sekadar yang diperlukan sahaja agar hati di permudahkan untuk memperhambakan dirinya kepada Allah s.w.t.

Cinta yang hakiki ialah cinta kepada ILAHI. Insyallah dengan melaksanakan empat tuntutan cinta di atas, pasti kita akan memperolihi sebuah cinta yang hakiki yang tiada taraNYA melalui sebuah kehidupan kita yang sejahtera untuk dunia mahupan akhirat.

Sumber Jaliliah Abdullah edit bahasa oleh Suri.

Share