Rindu Yang Terlarang..

Salam semua..

Luahan dari seorang pembaca setia di blog ini. Berharap sahabat semua tidak keberatan meninggalkan komen di blog ini serangkap dua kata. Segala pandangan anda amatlah Suri hargai.

Nama samaranku Qis. Qis telah berumahtangga selama 20 tahun. Namun sepanjang tempoh perkahwinan tersebut kami masih belum dikurniakan cahaya mata lagi. Allah.. mungkin rezeki itu belum berpihak pada kami lagi. Hati dan perasaan Qis terhadap suami mula tawar akibat sikap suami yang kurang memberikan perhatian pada Qis..

Sepertimana yang semua  sedari fenomena muka buku di alam maya, Qis juga tidak ketinggalan mempunyai akaun muka buku.Selama bermuka buku,Qis begitu berhati-hati menerima kawan-kawan lama mahupun yang baru.

Suatu hari Qis membuka message di inbox. Terlihat ada suapan email tanpa diundang. Sungguh tidak terduga dek akal apabila bekas kekasih  yang menghantar email tersebut. Dia bertanya pada Qis adakah Qis orang yang dicarinya di muka buku itu. Terpukul Qis dengan pertanyaannya, kerana selama bermuka buku…Qis memang pernah membaca ‘wallnya’ tetapi tidak pernah terfikir untuk menyapanya.

Jujur Qis katakan, Qis tidak pernah terfikir dia akan mencari Qis lagi kerana kami telah terpisah selama 20 tahun dan  kini kami di temukan di maya kembali. Sepanjang tempoh itu,kami tidak pernah terserempak atau terjumpa di mana-mana walaupun kami tinggal dalam bandar yang sama dan mungkin mengunjungi tempat membeli belah yang sama.

hening

Qis tahu dia sudahpun berkahwin dan mempunyai anak seramai 4 orang. Namun semenjak kehadirannya membuatkan hati Qis tidak tentu arah. Dahulunya kami pernah bercinta namun tidak pula pernah sesekali memutuskan hubungan itu sama sekali.Rupa-rupanya di antara kami sisa rindu dan kasih masih ada.

Kami bertukar cerita dan episod duka dalam kehidupan masing-masing.Ekoran dari masalah yang Qis hadapi untuk mendapatkan zuriat, dia pula mencadangkan agar Qis mengambil anaknya untuk dijadikan sebagai anak angkat. Cadangannya membuatkan Qis tersentak dan terdiam. Namun Qis berfikiran terbuka mana mungkin ada insan yang sanggup memberikan anak sendiri pada orang lain tanpa sebab musabab yang kukuh melainkan jika ia ada tali persaudaraan sesama keluarga………Sebab Qis tahu jika kami berjumpa pasti akan ada pelbagai rasa dan cerita yang bakal terjadi kelak.

Bantulah Qis dalam menyelesaikan masalah ini. Agar Qis dapat mengisi rasa tawar di hati terhadap suami kembali dan sekaligus dapat mengawal diri ini dari terus berhubungan dengan suami orang. Qis tidak tergamak untuk menguis rumahtangga orang namun begitu keadaan juga telah membuatkan Qis menjadi begini.Bagi Qis,cinta padanya mungkin telah tiada…cuma ada rindu yang tersisa.Tak pernah putus Qis meminta petunjuk dan memanjatkan doa pada Allah swt agar dugaan yang datang melanda ini segera berlalu pergi…Dan…sebenarnya bagi diri Qis sendiri telah ada jawapan yang pasti..cuma Qis mahukan pendapat lain…


Nyanyian Broery Marantika & Dewi- Rindu Yang Terlarang

Share

Tiga Tahap Konflik Suami Isteri

As-salam dan salam sejahtera buat kawan-kawanku di ruang maya. Harap anda semua dalam keadaan siaht hendaknya. Hari ini Suri tertarik hati dengan entri yang di sampaikan dari blog http://promote5.blogspirit.com berkenaan dengan isu rumahtangga yang kian meruncing dalam dalam masyarakat kita tentang pergolakan rumahtangga yang tiada kesudahannya.

Apakah masalah itu? Apakah tahap-tahap konflik tersebut? Jom kita cuba fahaminya dengan cara yang lebih terperinci lagi. Semoga maklumat yang disampaikan akan memberikan manfaat dan pengetahun buat kita semua.

DALAM perbincangan munakahat, ulama mengkategorikan tiga konflik utama yang dihadapi pasangan suami isteri. Dalam pergaulan mereka wujud ciri berikut:

gaduh

Nusyuz
Dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat dikesan melalui komunikasi pasangan, reaksi muka, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan muka. Bercakap dengan kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan.

Syiqaq
Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca mencerca dan pukul memukul.

Dharar
Penganiayaan suami seperti memukul dan mendera isteri, sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlak dan taat kepada suami.

Bagaimanakah menangani konflik yang berlaku?
Sebenarnya dalam kehidupan sebagai suami isteri tidak lari daripada kemungkinan menghadapi ujian rumah tangga dalam bentuk konflik seperti nusyuz, dharar dan syiqaq.

Sekiranya keadaan konflik berlaku disebabkan isteri nusyuz, suami patut mengambil langkah seperti berikut:

Memberi nasihat kepada isteri dengan penuh kasih sayang.

Menyedarkan isteri mengenai tingkah laku yang dilakukan dan mengingatkan kesan itu kepada diri sendiri dan pasangan serta kedudukan sebagai hamba Allah. Hal ini kerana keredaan Allah ke atas isteri bergantung kepada keredaan suami kepadanya.

Sekiranya suami tidak bersedia memberi nasihat dengan cara itu, suami boleh membawa isteri mendapat khidmat nasihat daripada keluarga terdekat, sahabat yang dipercayai, orang berpengaruh dalam masyarakat atau tempat yang menyediakan khidmat kaunseling.

Sekiranya nasihat tidak memberi kesan untuk mengubah tingkah laku isteri, suami boleh membuat ta’dib kepada isteri. Iaitu memberi pengajaran dengan mengambil langkah berikut:

(a) Pisahkan tempat tidur hingga isteri meninggalkan nusyuznya;

(b) Tidak bertegur sapa tidak lebih tiga hari;

(c) Pukul dengan alat yang tidak memudaratkan anggota badan dan tidak pada muka (sekadar memberi ta’dib); dan

(d) Andainya isteri tidak menunjukkan perubahan, suami boleh membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan bagi mendapat keputusan mahkamah sama ada kes ini:

Boleh diselesaikan dengan baik (sulh) sama ada tinggal semula bersama atau bercerai dengan baik.

Dirujuk dengan hakam.
Sabitan nusyuz isteri, isteri akan hilang semua haknya sebagai isteri kecuali mengubah tingkah lakunya. Sekiranya isteri enggan, suami boleh menjatuhkan talak. Isteri dimaklumkan bahawa haknya mendapatkan mutaah dan nafkah idah akan gugur disebabkan nusyuz.

Sekiranya nusyuz pula berlaku di pihak suami dan dia enggan mengubah tingkah lakunya, isteri boleh membuat aduan kepada perunding keluarga atau mengemukakan kes mereka di Mahkamah Syariah untuk ditangani oleh pihak mahkamah. Ia bagi menentukan kehendak mereka sama ada berdamai dengan suami serta diperintahkan berlaku adil atau bercerai dengan talak biasa daripada suami atau tebus talak di pihak isteri.

gaduh lagi

Menangani konflik dalam bentuk syiqaq
Apabila keadaan hubungan suami isteri saling cerca mencerca, tuduh dan pukul memukul, alam perkahwinan menjadi medan pergaduhan. Tidak ada pihak yang dapat menasihati dan menerima nasihat daripada pasangan.

Konflik mereka perlu ditangani dengan kaedah seperti firman Allah bermaksud: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah untuk mendamaikan mereka iaitu seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu dengan ikhlas bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakai baik. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya. (Surah an-Nisa, ayat 35)

Suami isteri yang menghadapi syiqaq perlu mengadakan sulh (perbincangan) yang dihadiri oleh wakil keluarga atau penasihat (kaunselor).

Sekiranya konflik mereka tidak mendapat jalan perdamaian, pasangan perlu membawa kes mereka ke mahkamah untuk ditangani pada peringkat mahkamah.

Seandainya mahkamah mendapati perbicaraan mereka menghadapi keadaan yang perlu dirundingkan pada peringkat suami isteri, mahkamah akan melantik seorang pengerusi untuk mengetuai perundingan wakil yang dilantik oleh suami isteri.

Selepas memperoleh beberapa keputusan, pengerusi akan memanggil suami isteri untuk dibicarakan semula bagi mensabitkan shiqaq. Jika sabit shiqaq, pasangan akan diminta membuat majlis tahkim yang dihadiri oleh wakil keluarga dan suami isteri untuk membuat beberapa keputusan sama ada berdamai dengan mengubah tingkah laku masing-masing atau bersetuju bercerai.

Keputusan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk dibuat perintah mahkamah mengenai keputusan pasangan.

Menangani konflik dalam bentuk dharar

Apabila isteri mengalami penderaan atau penganiayaan daripada suami seperti dipukul, dikurung atau diabaikan nafkah zahir dan batin serta berlarutan daripada had nusyuz, langkah yang perlu isteri lakukan adalah mendapatkan saksi terhadap perbuatan itu. Pada masa sama, isteri perlu membuat laporan kepada polis, pegawai perubatan serta boleh membuat pengaduan ke mahkamah untuk dibicarakan.

p/s: Tanpa kita sedar sekarang ini semakin banyak rumahtangga yang dibina runtuh ditengah jalan.. Sedih dan kecewa sangat-sangatkan huhu..

Jika keadaan masih boleh diselamatkan maka perbetulkanlah mana-mana bahagian yang ada kekuragannya. Sekiranya jalan terbaik adalah membawa haluan masing-masing maka terimalah cabaran tersebut untuk mengharungi hari -hari yang mendatang dengan penuh kekuatan dan kecekalan dihati. Sebab bukan mudah untuk menguruskan anak-anak tanpa pasangan disisi kita seperti hari yang dilalui sebelum ini.

Apa pandagan anda tentang topik di atas??

Share