Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.
Kahwinkan pokok?
Itulah reaksi spontan bagi mereka yang pertama kali mendengar istilah berkenaan. Namun bagi kaki kebun atau peminat pokok bunga misalnya, teknik pokok kahwin ini sudah menjadi kemestian bagi mereka yang mahukan hasil menarik, terutama pokok bunga bougainvillea atau bunga kertas yang sememangnya popular.
Pilihan bougainvillea – Kaedah cantumkan pokok baik mampu hasilkan bunga kertas berkualiti
JIKA sebelum ini kita membicarakan panjang lebar mengenai pokok bunga kertas atau ‘bougainvillea’ yang sememangnya tanaman hiasan popular sejak berzaman lamanya, kali ini, seperti dijanjikan, kita mendekati pelbagai cara mempamerkan pokok bunga menarik ini.

Sebenarnya kehadiran bougainvillea dalam pelbagai warna bunga yang menarik membolehkannya dipamerkan dalam pelbagai cara seperti berikut:
- Bouginvillea boleh ditanam di atas tanah iaitu dicampurkan beberapa pokok pelbagai warna bunga dalam satu rumpun.
- Boleh ditanam dalam pasu secara solo atau campuran beberapa pokok berlainan warna bunganya dalam pasu yang agak besar saiznya agar dapat hidup subur dan lebih menarik.
- Memandangkan ia pokok renek dan jenis pemanjat, pokok berbatang kecil dan panjang ini boleh diikat pada batang kayu untuk melatihnya memanjat seperti menjadikannya pintu gerbang taman, memanjat dinding, pergola, trellis dan sebagainya.
- Dijadikan pokok bonsai untuk kelihatan lebih eksklusif.

- Sesuai digunting atau ‘diandam’ kemas untuk dijadikan pokok pagaran dan topiari dengan pelbagai bentuk. Untuk itu ia perlulah digunting dan diandam sekerap mungkin untuk kelihatan lebih cantik dan sentiasa kemas.
- Beberapa ranting pokok pelbagai warna bunga atau daun boleh dikahwinkan atau dicantum kepada sebatang pokok yang matang bagi menghasilkan pelbagai bunga berwarna-warni untuk pameran yang lebih unik, cantik dan menarik.
Namun, berbanding kaedah yang disenaraikan di atas, teknik kahwin pokok yang merujuk batang atau tunas pokok yang baik dicantumkan kepada pokok kurang baik, disifatkan paling menarik kerana selain memaparkan kerajinan dan kreativiti individu, ia juga mampu menghasilkan pokok idaman yang lebat bunganya dan pelbagai warna.
Teknik cantuman
Ada beberapa cara atau teknik cantuman atau dalam istilah Inggerisnya dikenali sebagai ’grafting’ yang boleh dilakukan. Contohnya seperti cantuman dekatan atau sanding, cantuman mata tunas, cantuman belahan seperti cantuman baji dan sebagainya.
Namun cantuman baji adalah yang paling mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Oleh itu saya akan tunjukkan cara mudah melakukan ’kahwin’ pokok bunga kertas menggunakan teknik cantuman baji.
Sebelum itu ikuti beberapa tip dan maklumat mengenai teknik cantuman ini.
- Hanya pokok daripada jenis sama saja yang dapat dilakukan menggunakan teknik ini. Contohnya hanya pokok bougainvillea boleh dikahwinkan dengan pokok bougainvillea saja.
- Lakukan cantuman sama ada pada waktu awal pagi sebaiknya sebelum pukul lapan atau waktu petang selepas matahari mulai menurun contohnya seperti jam 6 petang.
- Jangan lakukan cantuman semasa hari hujan, selepas hujan atau pada hari terlalu panas.
- Dua cara melakukannya iaitu secara cantuman batang lembut atau cantuman batang keras.
Cara cantuman baji pokok bougainvillea
Pilihan batang yang hendak dicantumkan itu (berbunga cantik) dan ranting pokok yang menanti itu mestilah sama saiznya iaitu sebesar pensil. Potongan mestilah dilakukan menggunakan pisau yang tajam dan bersih. Caranya adalah seperti berikut:

- Langkah 1: Potong bahagian batang pokok yang hendak dicantum atau ’scion’ berbentuk ’V’. Bahagian akan tumbuh menjadi ranting baru.
- Langkah 2: Kemudian potong pula bahagian pokok yang menanti atau ’stock’ agar bahagian ’scion’ dapat sesuai untuk dicantum dengannya .
- Langkah 3: Lakukan cantuman dengan segera agar bahagian kambium tidak kering iaitu faktor utama kepada kegagalan cantuman.
- Langkah 4: Ikat cantuman menggunakan tali rafia atau pita cantuman secara tidak terlalu ketat dan tidak pula terlalu longgar.
- Langkah 5: Letakkan di tempat teduh dan elakkan proses pemeluwapan bagi mempercepatkan cantuman iaitu dengan meletakkannya dalam beg plastik (foto 5).
Menerusi kaedah di atas, Insya-Allah cantuman tadi akan berjaya bercantum dalam masa lima atau enam minggu dan bolehlah ditanggalkan tali rafia dan juga beg plastik.
Berikan penjagaan pokok berkenaan seperti biasa seperti siraman air, pembajaan dan dedahan kepada cahaya yang diperlukan. Sebenarnya anda perlu banyak membuat percubaan melakukan proses cantuman ini dan jangan berputus asa sebelum berjaya.
Cara cantuman ini boleh dilakukan untuk pokok buahan dan tanaman hiasan lain seperti pokok bunga raya, pokok bunga tahi ayam atau Lantana dan sebagainya.
Selamat mencuba.
Gambarajah/info:http://www.pertanianperak.gov, google & BH.
