Ibadat Puasa Dan Masalah Rukyah

Firman Allah Taala:

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..

“..Sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu ..” (1)

Rukyah sebagaimana yang sedia diketahui ialah melihat anak bulan.

Menurut hukum syarak:
Sabitnya bulan Ramadhan ialah dengan jalan rukyah (atau mengetahuinya melalui sebaran am). Kalau tidak nampak, kerana anak bulan Ramadhan dilindungi awan, maka hendaklah disempurnakan bilangan bulan Sya’aban tiga puluh hari.

Demikian juga halnya mengenai bulan Syawal.

ManSightingMoon

Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a. bahawa nabi SAW, apabila baginda melihat anak bulan baginda membaca doa yang bermaksud:

“Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah S.W.T. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan”
Huraian (at-Tirmidzi)

Huraian :

1. Bulan merupakan kejadian Allah yang sangat berguna. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal Ramadhan serta dapat membuat penentuan ke atas amal ibadat yang hendak dilakukan dari masa ke semasa.

2. Kalender Hijriah (Islam) terdiri dari dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jumadil awal, Jumadil akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.

3. Islam sangat menggalakkan umatnya agar membaca doa apabila melihat sesuatu nikmat atau mendapat rahmat Allah, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Contohnya, apabila melihat anak bulan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

______________________

1. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

11- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ رَمَضَانَ فَقَالَ لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ. (رواه البخاري ومسلم)

11- Dari Abdullah bin Umar r.a.h., bahawa Rasulullah s.a.w., telah menyebutkan perihal bulan Ramadhan lalu bersabda: “Jangan kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan jangan kamu berhari raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal, kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya.”(1)
(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

______________________

1. Fath al-Bari (5:22) dan Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi (7:188).

Yakni kirakanlah bulan Sya’ban dari awalnya dan sempurnakanlah bilangannya tiga puluh hari, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadith yang berikut:

12- فَإِنْ أُغْمِيَ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ ثَلَاثِينَ. (رواه مسلم)

12- “.. Kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya tiga puluh hari”.(1)
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)

_______________________

1. Kitab yang sama (7:189).
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, rahimahullah dari Abdullah bin Umar juga. Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:

13- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ. (رواه البخاري ومسلم)

13- Dari Abu Hurairah r.a., katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari-rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal, kalau ia terlindung dari penglihatan kamu maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban tiga puluh hari.”(1)
(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim).

Demikianlah “masalah rukyah” sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith-hadith ini dan hadith-hadith yang lain. Sebab itulah apabila timbul sesuatu fahaman yang bertentangan dengan dasar rukyah maka fahaman itu tidak berkesan, kerana jumhur ulama’ rahimahumullah, telahpun menjawabnya satu persatu.(2)

Kesimpulannya:
Dalam masalah ini, “rukyah” adalah perkara asasi, manakala kiraan hisab (falak syar’i) hanya sebagai pembantu sahaja dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hakikat ini telah diputuskan dalam muktamar-muktamar Islam sedunia yang telah berlangsung di Istanbul (1978) dan di Amman – Jordan (1986).(3)

___________________________

1. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Nasa’i dari Ibn Abbas dan al-Tabrani dan al-Barra’ r.a. (Ittihaf Ahl al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 56).

2. Antara lain lih. Fath al-Bari (5:22) dan Bidayata al-Mujtahid (1:284).

3. Tarikh persidangan kedua-dua muktamar itu disebutkan oleh Dr. Abdullah Ibrahim, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i, dalam kertas kerjanya yang telah dibentangkan dalam seminar yang berlangsung di Pusat Islam.

001

Masa Melihat Anak Bulan Ramadhan
Masa melihat anak bulan Ramadhan sebagaimana yang sedia maklum ialah pada dua puluh sembilan hari bulan Sya’aban, sebelah petangnya, semasa matahari terbenam, kerana bulan ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari, seperti yang diterangkan dalam hadith-hadith yang berikut:

14- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّهْرُ تِسْعَةٌ وَعِشْرُونَ فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ. (رواه الإمام الشافعي)

14- Dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bulan itu dua puluh sembilan hari, maka janganlah kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan janganlah kamu berhari-raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal, kalau ia terlindung dari penglihatan kamu, maka sempurnakanlah bilangan (bulan itu) tiga puluh hari”.(1)
(Hadith Sahih – Riwayat Imam Al-Syafi`i)

Dalam sebuah hadithnya yang lain, Baginda menegaskan lagi, maksudnya: Bahawa bulan itu ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari.(2)

Bahkan kebanyakan puasa Rasulullah s.a.w semasa hayatnya ialah 29 hari berbanding dengan puasanya 30 hari.(3)

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah bulan 29 hari ada kalanya berturut-turut selama dua bulan ada kalanya selama tiga bulan dan ada kalanya selama empat bulan, tetapi tidak berlaku lebih daripada empat bulan. (4)

______________________

1. Musnad al-Imam al-Syafi`i (1:272).

2. Hadith Sahih riwayat Muslim dan Ibn Umar r.a. (Ibanat al-Ahkam, 2:371).

3. Demikian dinyatakan oleh Ibn Mas’ud r.a., `Aun al-Ma`bud (6:436).

4. Tuhfat al-Ahwadzi (3:371).

Sumber: http://www.islam.gov.my
Harap maaf sebahagian tulisan berskala kecil. Telah di edit namun tetap tidak memuaskan juga. Harap maklum.

Share
Artikel lain yang best-best :

12 thoughts on “Ibadat Puasa Dan Masalah Rukyah

  1. Ilmu ini bermafaat untuk semua orang… terima kasih kerna berkongsi maklumat yang penting puasa kena penuh laaaaa tapi cik suri ada kelonggaran dalam hal-hal dalam bulan pose ne tapi kami lelaki takde keuzuran….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>