Api Melenyapkan Kotoran Emas Dan Perak

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Pernah satu ketika Ummu A’la meriwayatkan bahawa pada ketika dia dalam keadaan yang menderita kesakitan, Rasulullah s.a.w. ada menjeguk dan menghiburkannya:

Hai Ummu A’la, bergembiralah, kerana dengan sakit yang dideritai oleh seorang muslim, Allah akan menghapuskan dosa-dosanya sebagaimana api melenyapkan kotoran emas dan perak.

(Hadith riwayat Abu Daud)

Sahabatku sekalian petikan dari hadis di atas membawa maksud bukan bererti kita memelihara virus-virus di dalam tubuh badan kita, jangan berbuat apa-apa akan tetapi dengan sakit yang Allah kurniakan pada kita sebagai hambanya adalah sebagai penghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan tanpa kita sedari ataupun sebaliknya.

Sebagai seorang hamba kitalah yang harus mencari penawarnya dan menghilangkannya. Carilah penawar itu dari pelbagai sudut seperti melalui mencari ubat-ubatan, penawar berzikir dan sebagainya kecuali mati.

Share

Tentera Bergajah Abrahah dan Burung Ababil

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Sebelum Keputeraan Baginda pada 12 Rabiulawal, tahun 570 masihi meyaksikan satu peristiwa bersejarah terpahat dalam lipatan ingatan umat Islam diseluruh dunia. Sejarah yang menyaksikan ketamakan, kebencian dan kekufuran yang menguasai jiwa seorang Gabenor bongkak Dari Yaman. Abrahah Ashram, Gabenor yang dimaksudkan mengumpulkan segala kekuatan ketenteraan yang ada pada kerajaannya, mengorak langkah menghala satu tujuan tekad untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Kaabah, rumah Allah yang menjadi Kiblat bagi umat Islam sehingga kiamat.

Dilengkapi dengan kenderaan perang antara yang paling digeruni di zaman tersebut, gajah; menjadi petanda yang diingati oleh penduduk Mekah zaman tersebut lalu dipahatkan kedalam lipatan sejarah dimana tahun berlakunya serangan tersebut dikenali juga sebagai Tahun Gajah. Terdorong oleh hasutan Iblis dan kekecewaan diatas “Kaabah’ buatannya sendiri yang tidak dapat menarik tumpuan pedagang dan saudagar-saudagar kedaerahnya, Abrahah dengan angkuh mencabar Allah, mengimpikan kehancuran Baitullah, binaan yang dibuat atas perintah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Kaabah sekitar tahun 50an

Abrahah Ashram yang berasal dari kerajaan Kristian Abyssina (Ethiopia kini), menjadi Gabenor Yaman setelah berjaya merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan pimpinan golongan Yahudi Himyarite Yaman. Gerakan untuk menghancurkan Kaabah ini bermula dengan fanatisme agama yang melampau yang menguasai kerajaan pimpinannya dan orang-orang yang menyokongnya. Kaabah mesti dihancurkan! Tekad melampau ini diterjemahkan melalui pengumpulan ketumbukan tentera yang tidak langsung terlawan oleh penduduk dan penjaga Kota Suci Mekah.

Dimabukkan dengan cinta dunia yang melampau, dihanyutkan pula oleh hedonisme yang tiada batasan serta kealpaan dan kesesatan dalam penyembahan berhala yang lama berakar umbi, tiada jiwa yang bangun menentang kerana takut serta tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian. Masing-masing jiwa sibuk menyelamatkan diri , harta benda serta anak pinak masing-masing. Tanggungjawab dikirikan, keduniaan dikinikan. Tetapi yakin segelintir dari mereka kepada Allah tidak pernah luntur. Bagi mereka ini rumah Allah, Allah lah yang memeliharanya dan seharusnya Rumah Allah, Allah lah yang patut mempertahankanya. Inilah tekad dan yakin Abdul Mutallib, nenda kesayangan Rasullullah s.a.w. Ternakan, harta benda dan keluarganya diselamatkan dulu kerana itu adalah miliknya dan dialah yang seharusnya mempertahankannya.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya) , lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

(Al-Baqarah : 255)

Allah, hanya Dia mencukupi. Allah hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allah, jika Dia mahukan, tentulah Abrahah Ashram ini mati serta dihancurkan sebaik melangkah keluar dari Yaman. Dan Allah, jika Dia mahukan tentulah seluruh alam yang terkandung makhluk-makhlukNya yang kufur kepadaNya ini Dia Binasakan sama sekali.

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Asy – Syuura : 5)

Tetapi, Dia Yang Maha Mengetahui mengenai segala tindakanNya. Ditangguhkan hukumanNya di dunia keatas Abrahah dan tentera-tenteranya itu merupakan satu rahmat, peringatan dan pengajaran bagi Muslimin supaya diambil akan iktibar. Sebaik Abrahah menghampiri kota Mekah, Allah Yang Maha Kuasa mengirimkan tentera-tenteraNya untuk menghancurkan gerombolan tentera bergajah ini. Tentera-tentera yang dikirimkan Allah merupakan burung-burung yang membawa bersama mereka ketul-ketul batu dari ‘tanah liat keras yang dibakar’ sebagai senjata untuk dihumbankan ke atas angkatan bergajah tersebut. Langit pun mula diselubungi bayangan azab Allah yang sedang menanti Abrahah dan tentera-tenteranya.

Saat perintah Allah dilaksanakan, ianya tidak diawalkan mahupun dilambatkan walau sedetik, burung-burung Ababil tersebut menghujankan tentera Abrahah dengan batu-batu dari ‘tanah liat keras yang dibakar’, menimpakan ke atas tentera-tentera Abrahah lalu mereka, termasuk Abrahah dihinggapi satu wabak penyakit akibat dari serangan tersebut yang kemudiannya mengakibatkan tubuh badan mereka seakan-akan kelihatan seperti daun-daun kering yang dimakan ulat. Mereka semua kemudiannya hancur sama sekali tanpa ada satu jiwa pun yang terselamat. Begitulah gambaran bagaimana Abrahah serta tentera-tenteranya dimusnahkan Allah dan gambaran ini disebut jelas oleh Allah dalam Surah Al – Fiil ayat satu hingga 5.

Ketenangan pun mula kembali menyelubungi Kota Mekah dan Kaabah kembali menjadi tumpuan. Tidak lama sesudah peristiwa serangan tentera bergajah tersebut, seluruh alam ini diKurniakan Allah dengan satu kelahiran, kelahiran yang membawa berjuta rahmat kepada seluruh Alam ini. Subuh hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah ini menyaksikan Nabi Muhammmad s.a.w. diputerakan.

Sumber: http://idhamlim.blogspot.com

Share

Pokok Gharqad Pokok Yahudi

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Pagi ini Suri membuka facebook dan tertarik akan topik yang di bicarakan. Apa lagi Suri ambil masa untuk mengoogle bagai. Jadi hasilnya dapat selongkar youtube dari luar negara sekali. Bagi sahabat-sahabat yang Suri sudah tahu baguslah. Tidak ketahui jom baca entri ini sampai habis.

Rasulullah S.A.W bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam akan memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan memerangi (membunuh) Yahudi dan mereka akan bersembunyi di sebalikk batu-batu dan pokok. (Ketika itu) Batu dan pokok akan akan bersuara ‘Wahai muslim! wahai hamba Allah! di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya’, kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi”. (no 7523 , riwayat Muslim)

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Pada ketika ini, orang-orang Yahudi sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw. Keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari sepanjang masa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah rupa pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok Rhu, pokok Kaktus dan sebagainya. Gambar pokok Gharqad yang dipapar di sini insya Allah akan dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita.

 

Pokok Gharqad adalah pokok African Boxthorn, dari keluarga Solanaceae. Ia sejenis pokok yang berduri dan mempunyai dahan yang berjalin-jalin. Dikategorikan sebagai beracun, dan buahnya seperti buah tomato, tetapi kecil dan hanya berdiameter 1 cm sahaja. Daun nya bewarna hijau muda. Bunganya kecil dan berwarna putih dengan tompok-tompok ungu.

Nama Arabnya adalah Awsaj tetapi lebih popular dengan nama Gharqad di kalangan orang-orang Arab.

Di dalam laman web JewishNational Fund, terdapat maklumat di mana kerajaan Israel menyediakan satu dana khas untuk penanaman pokok. Dana kebangsaan khas ini bertujuan untuk menghijaukan bumi dan tujuan paling utama adalah mencari tanah untuk puak-puak Yahudi ini tinggal.

Laman ini juga menyatakan mereka telah berjaya menanam sebanyak 220 juta pokok dan projek-projek lain. Penanaman pokok Gharqad ini adalah satu dari agenda kempen menghijaukan bumi ini dan kempen ini berkumandang di seluruh dunia bagi mengaburi agenda mereka di Palestin.

Laman web:http://www.jnf.org/work-we-do/our-projects/forestry-ecology/

Kempen Kerajaan haram Israel “Projek Menghijaukan bumi”

TEMBOK PEMISAH (GHETTO ABAD 21)

Pada tahun 2005, Israel telah membina sebuah tembok di daerah yang ternyata jelas bukan wilayahnya. (Jika kita mengaku ia ada wilayah). Tembok dengan ketinggian 8 meter ini, dua kali ganda ketinggian tembok Berlin dan sepanjang 730 km. Ia memisahkan 90,000 populasi Palestin dibahagian Barat dan 42,000 orang dibahagian Timur. Lebih setengah juta orang Islam menerima kesan yang teruk akibat tembok ini.

Dengan pembinaan tembok haram ini, ternyata jelas Israel telah mengulangi sejarah kekejaman Nazi ketika perang dunia ketiga. Ketika itu orang-orang Yahudi dikurung dalam Ghetto. Ghetto adalah satu kawasan di mana orang-orang Yahudi dikurung dan pergerakan mereka terkawal sebelum dibunuh.

 

Tembok pemisah yang dibina oleh pengganas Zionis-Israel ini menelan belanja yang sangat besar dan tidak pernah diumumkan kosnya. Kos pembaikan kerosakan sepanjang 1 kilometer sahaja, menelan belanja US$4.7 juta. Namun orang-orang Yahudi ditakdirkan akan menerima nasib seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah. Mungkin inilah tembok batu yang dimaksudkan oleh Rasullullah dalam Hadis tersebut ialah batu tembok pemisah Israel -- Palestin ini?

” Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang terbentang atau di sebalik tembok” ( al-Hasyr : 14 )

Umat Islam yang beriman tidak perlu gusar dengan tembok dan pohon Gharqad ini kerana kewujudannya adalah petanda ketibaan saat kemusnahan orang-orang Yahudi. Penghijrahan orang-orang Yahudi dari seluruh pelusuk dunia ke tanah Palestin sangat-sangat dialukan walaupun ia menuntut pengorbanan yang sangat besar. Percaya dan yakinlah dengan janji Allah, saat-saat kemusnahan Yahudi hampir tiba.

Versi kuliah Bahasa Melayu

Versi kuliah arab Saudi:

Wallahu’alam.

Sumber:http://maahadsas.edu.my, Youtube, Google & FB

Share

Tiang Pompeii _Kota Maksiat Part III

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Mood ingin menulis panjang tiada cuma untuk memulakan sesi rancakkan jari menekan keyboard membuatkan hati berkata-kata alangkah baiknya andai  entri tiang Pompeii_Kota Maksiat pencarian ilmu diteruskan lagi. Hari ini Suri tidak ingin berbicara panjang cuma ingin menyelitkan beberapa dokumentari tentang  Nabi Luth dan kaumnya Sadum.

Semoga gambaran yang Suri ceritakan pada bahagian-bahagian yang sebelumnya dapat memberikan gambaran jelas buat pembaca sekalian. Insyallah ada rezeki ilmu yang lebih dan masa mengizinkan kita akan sambung lain entri lagi.

Bagi memberi pengiktibaran dan petunjuk kepada umat manusia, Allah s.w.t. telah memberi peringatan berulang kali tentang balasan buruk ke atas kaum Nabi Luth ini. Iaitu menerusi 82 Ayat dalam 14 Surah. Antaranya ialah 16 Ayat dalam surah Asy-Syu`ara iaitu ayat:160-175.

Dalam ayat:160-164, Allah mengisahkan langkah dakwah Nabi Luth menyeru kaumnya supaya mematuhi perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya. Nabi Luth mengecam kelakuan dan perbuatan mereka yang keji khususnya amalan liwat atau homoseksual. Seterusnya dalam ayat:165-168, Allah s.w.t. merakamkan sebahagian dialog antara Nabi Luth dan kaumnya. Maksud ayat-ayat ini:

(165 ) “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia;
(166) “Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)”!
(167) Mereka menjawab: “Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Luth (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!”
(168) Nabi Luth berkata: “Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu”.

Bagaimanapun Kaum Luth bukan sahaja menolak dakwah Nabi itu malahan mengugut untuk mengusirnya dari negeri Sadum. Akhirnya Nabi Luth bertawajjuh kepada Allah memohon supaya menyelamatkannya beserta keluarga dari kebinasaan yang akan ditimpa ke atas kaumnya. Lalu Allah menerima doanya itu dan membinasakan kota Sadum.

Kemudian ayat-ayat seterusnya menggambarkan balasan Tuhan terhadap Kaum Nabi Luth, sebagaimana maksud ayat:172-173:
(172) Kemudian kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Luth)
(173) Dan kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.

Balasan azab Allah ini juga disebut, dalam beberapa ayat yang lain. Antaranya ayat:34 surah Al-‘Ankabut yang menerangkan tentang kedatangan utusan Allah iaitu malaikat-malaikat untuk membinasakan penduduk Sadum. Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)”. Maksud ayat ini menggambarkan pemandangan kebinasaan yang menimpa negeri itu dan penduduknya kecuali Luth dan keluarganya yang beriman sahaja. Besar kemungkinan peristiwa ini ialah peristiwa ledakan gunung berapi yang telah menunggang balik negeri itu dan menurunkan hujan batu semasa ledakan gunung-gunung berapi ini(2).

Peta Laut Mati

Laut Mati

Kuasa Tuhan_Kandungan garam yang terlalu tinggi menyebabkan manusia boleh terapung atas air.

Kesan-kesan kemusnahan khususnya di Tasik Nabi Luth atau dikenali sebagai Laut Mati itu masih kekal hingga ke hari ini dan menjadi bukti kekuasaan Allah bagi mereka yang merenunginya disepanjang abad, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat:35 surah Al-‘Ankabut maksudnya:“Dan demi sesungguhnya! Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya”.

Inilah untung nasib kesudahan yang tabi’i bagi generasi manusia yang keji dan rosak akhlak. Mereka tidak lagi layak hidup untuk melahirkan keturunan. Mereka hanya layak disapu bersih dan dihancurkan.

rujukan
1 Harun Yahya, Kaum-Kaum Yang Pupus, Trj: Rozalli Hashim, Kuala Lumpur, Saba Islamic Media, 2004, m/s:52.
2 Asy-Syahid Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilalil Qur’an, Jilid:12, m/s:394.

Share

Tiang Pompeii _Kota Maksiat Part II

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

SEKITAR 23 Ogos tahun 79 Masihi (M), keadaan di Pompeii (kini satu kawasan di Itali) kelihatan sibuk sama seperti kota purba lain – penduduknya bergerak ke sana sini, berjual beli dalam bangunan atau gedung agam serta berinteraksi antara satu sama lain.

 

Sehinggalah tiga hari kemudian, secara tiba-tiba saja satu kejadian misteri melanda kota berkenaan sehingga menyebabkan bangunan dan penduduknya lenyap bagaikan tidak pernah wujud pada muka bumi ini.Seterusnya selama 1,500 tahun, kewujudan kota Pompeii yang suatu ketika dulu menjadi antara kota terkemuka dalam Empayar Rom, hilang dalam lipatan sejarah. Tiada siapa yang mengetahui kewujudan kota berkenaan.

 

Masa terus berlalu sehinggalah ketibaan 1594; sekumpulan pekerja diarahkan menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius bagi projek membekalkan air kepada sebuah kampung berdekatan.Kerja mengorek tanah dijalankan dengan giat tetapi secara tiba-tiba kumpulan pekerja itu terpaksa menghentikan aktiviti berkenaan selepas menemui sesuatu benda aneh tertanam di dalam tanah.

 

Tinggalan aneh berbentuk artifak itu dikeluarkan dan berita penemuannya terus tersebar luas menyebabkan semakin banyak kerja cari gali dilakukan di kawasan itu.Bagaimanapun, pada 1631, gunung berapi Vesuvius meletus tujuh kali sehingga memusnahkan apa saja yang berada berhampirannya termasuk kawasan penemuan artifak berkenaan.Tujuh puluh enam tahun kemudian, kerja mengorek kembali dipelopori Putera d’Elboeuf selepas beliau mendengar kewujudan artifak berharga dan harta karun tertanam di kawasan berkenaan.
Pihaknya terus menggali dan pelbagai tinggalan artifak yang pernah ‘terkubur’ di bawah tanah di kawasan berkenaan kembali dikorek keluar. Ketika itulah misteri kehilangan kota Pompeii selama ribuan tahun akhirnya terbongkar.

 

Bagaimanapun, penemuan kota purba itu turut menimbulkan pelbagai persoalan misteri di kalangan pelbagai pihak terutama pengkaji sejarah.Malah, lebih mengejutkan adalah selain artifak berupa tembikar dan barangan purba, turut dijumpai di kawasan berkenaan adalah puluhan patung batu berbentuk manusia dalam keadaan menggerunkan.

 

Antara penemuan aneh itu adalah sekumpulan jasad manusia yang seolah-olah bertukar menjadi patung batu ketika sedang menjamu selera.

 

Lebih menakutkan adalah kejadian misteri yang melenyapkan kota itu secara tidak langsung turut menyimpan ‘wajah’ sebenar kota Pompeii apabila turut ditemui puluhan jasad manusia yang sedang mengadakan hubungan seks termasuk seks luar tabii, bertukar menjadi batu.

 

Malah, jelas kelihatan adalah raut muka penduduk yang menunjukkan ekspresi terkejut dan ketakutan teramat seolah-olah bencana yang terjadi itu datang secara tiba-tiba.Kajian seterusnya membongkar cerita sebenar mengenai kota Pompeii. Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 Sebelum Masihi (SM) oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali.

 

Pompeii kemudian berkembang pesat dan maju dari segi pembangunan. Akan tetapi, di sebalik kemajuan seni bina dan aspek kesenian yang memukau, kota itu sebenarnya membangun sebagai pusat pelacuran serta kegiatan yang melampaui batas kemanusiaan.Rumah pelacuran dibina dengan jumlah yang tidak terhitung malah alat kelamin lelaki digantung di pintu pusat pelacuran berkenaan.

Masyarakat Pompeii pada ketika itu juga dikatakan mengamalkan kepercayaan ‘Mithra’ yang menyakini bahawa alat kelamin serta persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara sembunyi tetapi mesti dilakukan di tempat terbuka.
Selepas lama aktiviti maksiat tanpa batas itu berlarutan di kota berkenaan, secara tiba-tiba gunung berapi Vesuvius yang sebelum itu ‘sepi’ selama dua juta tahun akhirnya meletuskan lava panas sehingga membanjiri kota itu.Tiada seorangpun daripada penduduk yang terselamat malah debu tebal bencana itu terus menenggelam serta melenyapkan Pompeii daripada sejarah peradaban dunia malah menukarkan penduduknya seolah-olah menjadi patung batu.

Para utusan (malaikat) berkata: “Hai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorangpun di antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka karena sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?”. Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim.(11:81-83 )

Nota : Kisah Nabi Luth dalam Al-Quran terdapat pada 85 ayat dalam 12 surah diantaranya: Surat Al Anbiyaa’ ayat 74 dan 75, Surat Asy Syu’araa’ ayat 160 – 175, Surat Hud ayat 77 -83, Surat Al Qamar ayat 33 – 39 dan Surat At Tahrim ayat 10.

FAKTA: Pompeii
> Tapak tinggalan Pompeii kini diiktiraf sebagai satu daripada tapak warisan dunia Unesco
> Ketika letusan terjadi, kota Pompeii dianggarkan memiliki penduduk sejumlah 20,000 orang.
> Kebanyakan artifak yang ditemui dalam kerja cari gali ditempatkan di sebuah muzium di Naples.
Kredit: Laman web maya dan google
Share

Tiang Pompeii _Kota Maksiat Part II

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Urm.. seronok sebenarnya jika anda seorang pecinta sejarah-sejarah dunia. Suri suka menyentuh sejarah dan monumen Iskandariah, Mesir. Jika ada yang perasan rata-ratanya entri Suri sepanjang berblog berkisar tentang bumi anbia. Pada yang terlepas pandang entri The Sphinx of Giza Part I dan The Sphinx of Giza Part II boleh rujuk bahagian artikel lama.

Kali ini Suri ingin membawakan anda kisah disebalik Pompey’s Pillar, Alexandria berharap agar kisah ini berjaya menarik perhatian semua mengenali sejarah-sejarah silam dengan lebih dekat lagi. Selamat membaca ye. Minggu depan exam ! lalalalala..

Peta Pompeii

Tiang Pompei adalah salah satu monumen purba yang tertinggi  Iskandariah, Mesir. Pada suatu ketika dahulu kuasa pemerintahan kerajaan Greek dan Roman. Selain Alexander the Great, nama besar seperti Julius Caeser, Cleopatra, Pompei dan Ptolemi  juga pernah menakluki kerajaan Iskandariah.

Sepanjang berada didalam penguasaan ini, Iskandariah berada didalam kegelapan dari petunjuk Ilahi biarpun pada ketika itu tamadunnya terkehadapan berbanding masyarakat dunia yang lain. Sehinggalah beberapa zaman, alfa dan abad, Islam muncul di Tanah Arab hingga turut menyuluh bumi Iskandariah.

Sungguhpun kerajaan tersebut telah sekian lama musnah, namun peninggalannya masih wujud sehingga kini untuk tatapan generasi dan umat bagi melihat lebih dekat sejarah silam pada zaman tersebut. Malah sebahagianya masih tetap untuh berdiri. Pompey’s Pillar atau Tiang Pompei ini adalah antara mercu tanda antikuiti purba yang masih terpelihara di Iskandariah.

Pompey’s Pillar Signboard_by freddie18

Tahukah kawan-kawan nama tiang ini diperoleh daripada kesilapMaharaja Diocletianan pada Zaman Pertengahan apabila para pengembara meyangka Pompei disemadikan di sini. Namun hakikat yang sebenarnya beliau telah melarikan diri ke Mesir setelah beliau kalah kepada Julius Caeser. Dia mangkat di Iskandariah sekitar tahun 48SM dan tiada kaitannya dengan tiang ini.

Maharaja Diocletian nama sebenar Gaius Aurelius Valerius Diocletianus

Malahan tiang ini juga didirikan tiga kurun selepas kematiannya bersempena bagi memperingati keberanian Maharaja Diocletian yang berjaya menentang penindasan dan kekejaman pemerintah empayar. Orang Arab menggelarnya Amoud el-Sawari yang membawa maksud ‘Tiang Penunggang Kuda‘ bersempena dengan kudrat Diocletian yang berjuang sehingga darahnya mengalir ke lutut kudanya. Kejadian itu berlaku ketika kuda Diocletian tersungkur sebaik melangkah masuk ke kota.

Ini adalah tiang pompei_http://www.kitchencaravan.com

Tiang ini diperbuat daripada batu granit merah dari Aswan, berketinggian kira-kira 25 meter dan berukuran lilit 9 meter. Sekali gus merupakan monumen purba yang tertinggi di Iskandariah. Ia dipercayai didirikan pada 297M. Di kawasan sekelilingnya terdapat tinggalan kuil Serapeum, sebuah perpustakaan yang dikatakan pernah menempatkan kira-kira 40 ribu karya terpenting dan Nilimeter bagi mengukur banjir tahunan Sungai Nil.

Lembu jantan Apis suci

Selain daripada itu terdapat juga galeri-galeri subterranean iaitu tempat lembu jantan Apis suci ditanam dan terdapat juga tiga buah sphinx disitu. Selepas kekalahan di tangan Julius Caesar dalam perang saudara, Pompei melarikan diri ke Mesir di mana dia dibunuh pada tahun 48SM. Para penggembara Zaman Pertengahan kemudiannya percaya dia disemadikan di sini. Justeru, timbul kekeliruan hinggalah tiang ini mendapat namanya.

Kisah ini sebenarnya menceritakan tentang kaum Nabi Luth.. di mana umatnya melakukan penzinaan.. tidak percaya tunggu episod akan datang..

Kredit: Majalah Anis  Mac 2003_Suraiya Pauzi

Share

Bumi Taif Mencermin Pengajaran

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

 

Taif

Liku-liku banjaran memendam sejarah dan pengajaran

Keras, kering, namun hikmahnya diluar jangkau insan

Syawal tahun 10 kenabian Rasul musafir membawa risalahNYA

80km memisahkan dari asal kediaman Makkah al-Mukaramah

Setia disamping Sayidina Zaid Bin Harisah

Mencurah khidmat

Tajam kerikil pejal didaki

Memikul segunung harapan

 

Harapan keimanan buat kalian

Bani Thaqif seketurunan

Keras, kering, bumimu Taif

Segersang budi dan juga iman

Bani Thaqif tak keruan

Perasaan dan kejahilan jadi pertimbangan

Ketibaan Rasul dihujani rejaman bebatu di jalanan

Tak sanggup Zaid menyaksi

Lantas membenteng diri melindungi Nabi

 

Sabar dan redha Rasul mengatasi segala

Hanya seorang ditakdirkan beriman

Adas namanya kelahiran Ninawa..

Membawa diri insaf Rasul

Akan kelemahan sendiri

 

Selaku hamba tiada kuasa

Dialah menyimpan hikmah kejadian

Meski rasa kelemahan menekan..

Dakwah tertolak agama Allah

Gagal martabat kemuliaan

Insaf jua..kunci hidayah adalah milik-NYA

 

Tangan disusun Rasul memohon:

“Ya Allah,

Berilah petunjuk kepada kaumku

Kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui”

Kasihnya Rasul doanya segera menyusul:

“Ya Allah,

Berilah hidayah kepada Bani Thaqif dan lahirkan dari sisi mereka hamba-hambaMU

Yang menyerah diri (muslimin).”

 

Taif makmur akhirnya

Dengan iman dan kehijauan

Menaungi kegersangan pedoman

Dan mengalir denai-denai saliran

Hikmah Tuhan berlimpahan..

 

Taif mencermin seribu pengajaran

Bermohon dengan harapan kelemahan insan

Insaf jua..

Kunci hidayah adalah milikNYA

Terbuka hati insan menanggung kebesaran Tuhan.

Crd: Majalah Anis

Share

Menuntut Keadilan

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Seorang wanita dari keluarga Juhainah yang telah hamil kerana berzina, mengadap Rasulullah s.a.w. menuntut dirinya dihukum.

Dia mengadu, “Wahai nabi Allah, aku telah melakukan satu perbuatan yang harus dihukum.
Laksanakanlah hukuman itu ke atasku”

Baginda pun memanggil ahli keluarga wanita itu dan meminta mereka menjaga wanita itu sehingga dia selamat melahirkan anaknya. Setelah selamat melahirkan anaknya, wanita itu kembali kepada Rasulullah s.a.w. dan menuntut supaya dia dihukum.

Apabila wanita itu meninggal dunia kerana hukuman rejam yang dikenakan ke atasnya, baginda menyembahyangkan jenazahnya.

Sayidina Umar bin al-Khattab bertanya,

“Apakah engkau menyembahyangkannya sedangkan dia telah berbuat zina?”

Jawab Nabi Muhammad s.a.w. “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Seandainya taubat wanita itu dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, ia masih belum mencukupi.

Pernahkan kamu menemui taubat yang lebih baik berbanding taubat wanita ini? Dengan jujur dia menyerahkan dirinya supaya dilaksanakan hukuman Allah ke atasnya”.

Sumber Majalah Anis 2001

Share

Luka Itu Sembuh Jua Part I

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.

Ikuti hasil penulisan oleh Muhammad Qayyim.

Kira-kira sejam yang lalu, dia terjaga dari tidur setelah dikejutkan oleh isterinya. Mulanya dia hendak menarik selimut semula kerana kesejukan dihembus angin pagi, tapi segera pula bangkit apabila terdengar suara bacaan ayat-ayat al-Quran yang berkumandang dari surau.Namun perkataan pertam yang diucapkan isterinya telah mengundang kemarahannya. Lalu dalam keadaan pepisat itu dia pun melafazkan cerai kepada Zainab.Siapa pun tak akan percaya kalau diberitahu bahawa penceraian mereka hanya disebabkan oleh sebuah tilam terbuang!

Oh Tuhan, mengapa ini boleh berlaku? Aku tak pernah merancangnya. Bukan kehendak hambamu, Ya Tuhanku. Engkau pun tahu, ini adalah runtutan nafsu ammarahku. Kerana sebab yang kecil, terputus ikatan tali perkahwinan yang terjalin bertahun-tahun.”Puncanya kecil sahaja,” ulas Abang Harun, teman sepejabatnya sewaktu diminta pandangan. “Mungkin waktu itu, oleh sebab baru bangkit tidur, masih dalam keadaan terpisat, maka akan mudahlah berlaku hilangnya pertimbangan akal. Kalau patut fikir dua kali, waktu tu dah tak sempat fikir lagi.”Nada simpati dan tenag pada suara Abang Harun sudah menghilangkan daripada baran perasaan Jamal. Abang Harun memang berpawatakan persis ayah walaupun dia seorang yang gemar bergurau senda. Abang Harun bertaraf pegawai dan dia hanya pembantu pejabat, namun tidak ada batas hubungan antara kakitangan dijalin oleh rasa kekeluargaan yang erat.

Abang Harun berjanji akan bantu selesaikan masalah Jamal. Dia meminta Jamal bertenang. Dipesankan supaya Jamal jangan menziarahi Zainab dalam beberapa hari ini. Abang Harun sendiri akan hantar wakil menemui Zainab dan cuba mententeramkan perasaannya.


“Perkara sudah berlaku Mal, kita cubalah ambil iktibar dan mengcungkil hikmah di sebalinya. Di samping itu kita cuba selesaikannya cara paling baik,” pesan Abang Harun.

“Eloklah kau sendiri sedar ketelanjuran itu. Mudah-mudahan sebagaimana cepat perkara ini berlaku, secepat itu pula kita akan dapat selesaikannya,” tambah Abang Harun.Rumah mereka berhampiran dengan jalan masuk ke kampung. Di pinggir jalan itu ada tong sampah besar. Petang semalam seorang pemilik banglo besar di seberang jalan membuang sebiji tilam ke dalam tong sampah. Zainab berkali-kali membaritahu Jamal bahawa tilam jenis tebal itu masih baru, cuma di bahagian penjurunya ada bekas terbakar sedikit.Mungkin sebab itu ia dibuang. Tapi keadaannya jauh lebih baik dari tilam nipis di bilik tidur mereka yang sudah usang. Zainab menyarankan supaya lewat malam itu Jamal selongkar tong sampah tersebut dan membawa pulang tilam berwarna merah jambu itu tanpa dilihat orang.

Sambung heeeee…

Share

Tiada Tempat Untuk Si Bakhil

Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku..

Seorang wanita di zaman Nabi s.a.w. telah bermimpi bertemu ibunya yang ditempatkan di Neraka Jahim. Dalam mimpinya dia melihat ibunya memegang sepotong kain dan sepotong lemak. Dengan kain dan lemak itulah, ibunya menahan kepanasan api Neraka.

Wanita itu hairan mengapa ibunya dimasukkan ke dalam neraka padahal ibunya seorang yang taat pada agama. Rupa-rupanya ibunya tidak pernah bersedekah sepanjang hidupnya kecualilah sehelai kain dan sepotong lemak di tangannya.

images

Wanita itu cuba menyelamatkan ibunya dengan mengambil segelas air dari telaga Nabi s.a.w. Lalu di beri minum untuk ibunya bagi menghilangkan kehausan. Tiba-tiba terdengar suatu suara, “Mudah-mudahan Allah akan melumpuhkan tanganmu kerana engakau telah memberikan minum dari telaga Nabi s.a.w. kepada orang yang derhaka lagi kedekut.”

Apabila wanita itu terbangun dari tidurnya, wanita itu mendapati tangan kanannya lumpuh. Dia pun mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Setelah mendegar ceritaya, Nabi s.a.w. pun berdoa, “Ya Allah, dengan kebenaran mimpi yang diceritakan oleh wanita ini, maka sembuhkanlah tanganya,” Dengan izin Allah, tangan wanita itu kembali normal.

Sumber Anis 2001

Share